KUALA LUMPUR, 16 Mei – Akademi Rel Rapid Rail, yang telah melatih ribuan petugas rel termasuk dari Nigeria, Indonesia dan Arab Saudi, hari ini melangkah ke era baru berstatus antarabangsa dengan nama baru ‘Prasarana International Training Academy of Rail’ atau PINTAR.
Bermula sebagai unit latihan di bawah PUTRA LRT pada 1997 sebelum menjadi Akademi Rel Rapid Rail pada 2009, langkah penjenamaan semula kepada PINTAR adalah selaras dengan kemajuan yang dicapai oleh akademi berkenaan dan misi ‘Reinventing Prasarana’ seperti yang diumumkan oleh Presiden and Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Puan Masnizam Hisham baru ini.
Nama baru PINTAR diumumkan oleh Puan Masnizam hari ini pada majlis sambutan khas ‘Hari Cikgu’ untuk tenaga pengajar akademi berkenaan, yang diadakan di ibu pejabat korporat Kumpulan Prasarana di Bangsar di sini bersempena dengan Hari Guru Kebangsaan, yang diraikan di seluruh negara hari ini.
Tenaga pengajar akademi secara tradisinya dipanggil sebagai ‘Cikgu’ dan terus lekat di kalangan semua yang pernah bertugas di pusat latihan itu termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Datuk Seri Azmi Abdul Aziz, yang masih dipanggil sebagai ‘Cikgu Azmi’.
Begitu juga dengan Ketua Pegawai Operasi LRT Laluan Kelana Jaya, Tuan Haji Ismail Abdullah, yang menjadi perintis kepada pusat latihan berkenaan pada 1997 bersama-sama dengan Cikgu Azmi, terus kekal dengan panggilan nama ‘Cikgu Mail’ di pejabatnya sekarang.
Sejurus selepas pengumuman oleh Masnizam, wakil Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia, Dr. Mohd Rashid Buyong Hamzah, yang juga Timbalan Ketua Pengarah Operasi jabatan berkenaan, telah menyerahkan watikah pengesahan nama baru dan pengiktirafan PINTAR sebagai pusat latihan akreditasi penuh di bawah kementerian dan sebagai akademi latihan industri rel bertaraf antarabangsa.
Berucap pada majlis berkenaan, Masnizam berkata penjenamaan semula itu penting bagi menyemerakkan lagi semangat dan menguatkan lagi azam untuk mengorak langkah lebih jauh khususnya dalam mengembangkan sayap perniagaannya.
“Dengan nama baru ini, adalah lebih mudah untuk Prasarana untuk mempromosi dan menjual kepakaran PINTAR khususnya di pasaran antarabangsa. Ini akan memudahkan misi pihak Akademi untuk menjadi penjana pendapatan yang signifikan untuk Kumpulan Prasarana; seperti mana jabatan-jabatan lain di Prasarana yang perlu menjadi penjana pendapatan yang efektif,” kata Masnizam.
Dalam ucapan beliau, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Haji Khairani Mohamed melahirkan rasa gembira dan bangga atas kemajuan pesat yang ditunjukkan oleh Akademi Rel sejak ia mula operasi pada 1997.
“Bermula lima tenaga pengajar pada tahun 1997 semasa zaman PUTRA, akademi ini kini sudah mempunyai 31 tenaga pengajar dengan 156 tenaga pengajar bersekutu. Kita juga sudah melatih kakitangan dan jurutera rel dari Nigeria, Indonesia dan Arab Saudi di samping kolaborasi dengan pelbagai institusi pengajian tinggi seperti UTHM (Universiti Tun Hussein Onn) dan UniKL,” katanya.
Ketua PINTAR, Haji Zaki Mohamad, dalam ucapannya, berkata nama baru itu memberikan impak yang besar kepada Akademi dalam misinya untuk berkembang maju khususnya di pasaran antarabangsa.
“Nama adalah amat penting; kerana nama mencerminkan jati diri sesuatu institusi itu.
Kekuatan sesuatu institusi itu berkait rapat dengan mempunyai nama yang baik.
Penjenamaan semula ini juga adalah selaras dengan misi ‘Reinventing Prasarana’ yang diumumkan oleh Puan Masnizam. Kami di Akademi menyokong penuh aspirasi untuk ‘Reinventing Prasarana ini,” katanya.
Kata Zaki, pihaknya kini sedang proses perbincangan dengan beberapa pihak termasuk daripada universiti-universiti pengajian tinggi dan badan-badan korporat di dalam dandi luar negara untuk menyediakan program latihan bagi mereka.